KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mula menggabungkan semua fungsi agensi-agensi penggalakan pelaburan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Penggabungan itu bertujuan menghapuskan fungsi-fungsi duplikasi, mencegah kekeliruan pelabur dan menambah baik kemudahan pelaburan, kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.
“Bagi tujuan itu, Invest KL Corporation (InvestKL), iaitu agensi sedia ada di bawah kementerian, akan menjadi anak syarikat di bawah MIDA berkuat kuasa 1 Jun, 2024 bagi mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan MADANI ke arah penggunaan sumber awam yang ditambah baik dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik,” katanya.
Kementerian itu berkata ia akan memastikan peralihan yang lancar, terutamanya dalam memindahkan operasi InvestKL kepada MIDA dan menyelaraskan semua fungsi dengan cekap dalam rangka kerja operasi MIDA.
“Semasa fasa peralihan ini, semua pelabur sedia ada di bawah InvestKL akan terus dibantu dan dibimbing sewajarnya, memandangkan MITI terus komited untuk meletakkan kawasan Greater Kuala Lumpur sebagai hab perkhidmatan global terkemuka,” katanya.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan juga akan dilaksanakan seiring dengan pemetaan kemahiran dan kepakaran sedia ada dalam MIDA untuk menyokong kecekapan pelaksanaan dalam pelbagai dasar-dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 dan Strategik Semikonduktor Kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini.
MITI berkata ia juga akan mengutamakan proses memudahkan bertujuan meningkatkan pengalaman pelabur, seperti melalui Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia yang ditubuhkan pada Disember 2023, sebuah pusat pelbagai agensi di MIDA untuk mempercepatkan penyelesaian isu-isu pentadbiran pelabur.
Berdasarkan data terkini bagi suku pertama 2024, sebanyak 725 kes dibantu, yang mana 612 kes atau 84.4 peratus telah diselesaikan sepenuhnya.
“Ketika kami bergerak ke hadapan, MITI dan agensi-agensi sokongannya kekal teguh dalam komitmen kami untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur global dan tempatan sambil membina sumber-sumber semasa kami untuk membangunkan landskap pelaburan, perdagangan dan perindustrian yang lebih berdaya tahan demi kemakmuran rakyat, perusahaan kecil dan sederhana, dan pelabur,” katanya.- BERNAMA