Foto: JBPM
KUALA LUMPUR – Dua individu maut manakala seorang lagi cedera parah apabilan kenderaan jenis Perodua Kembari yang dinaiki bertembung dengan lori di Batu 8 Kampung Sapong, Jalan Tenom-Kemabong, Sabah.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 11.46 tengah hari mengerahkan lima anggota dan jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Shahril Sulaiman ke lokasi kemalangan.
Menurut Shahril, kemalangan itu membabitkan sebuah lori 10 tan membawa muatan 4 tong yang mana daripada jumlah tersebut sebuah tong berisi klorin manakala tiga tong lagi kosong bertembung dengan Perodua Kembara.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat, terdiri daripada dua orang mangsa lelaki di dalam kenderaan Perodua Kembara berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Foto: JBPM
Menurut Shahril, seorang mangsa perempuan mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Tenom menggunakan ambulans KKM sebelum Pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian.
Tambah beliau, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette