Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerima sepina untuk menghadirkan diri untuk memberi keterangan ke Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Beliau perlu hadir pada 12 Jun ini.

“Saya akan hadir kerana diarahkan untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini saya sendiri telah meminta untuk hadir di sepanjang prosiding ini apabila ia bermula pada 21 Mei 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau dan peguam menjangka mereka akan dipanggil menghadiri prosiding tersebut sepanjang ia dijalankan kerana dirinya merupakan pihak yang berkait dengan perkara yang dibincangkan oleh RCI tersebut.

“Seperti dimaklumkan oleh peguam saya, ini berasaskan dengan peruntukan undang-undang di dalam Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang mewajibkan saya atau peguam saya hadir sepanjang prosiding itu berjalan sehingga selesai.

“Selain itu, saya sangat berharap supaya RCI ini diadakan secara terbuka dan orang awam dapat mengikuti prosiding sepenuhnya,” ujarnya.

Ini kerana sebelum ini pelbagai tohmahan dan tuduhan telah dituju kepadanya secara terbuka dan mendapat laporan media secara meluas.

“Dan tuduhan-tuduhan tersebut dibuat termasuk oleh ahli jemaah Menteri sekarang antara lain bahawa saya membuat keputusan secara sembunyi-sembunyi dan secara sendirian.

“Jika semua tohmahan ini dibuat secara terbuka kenapakah jawapan dan penerangan saya perlu dibuat secara tertutup,” tegasnya.

Kerana itu, Dr Mahathir, kesemua keputusan yang dibuatnya adalah setelah mendapat nasihat dan pandangan dari peguam-peguam dan pakar-pakar perundangan dalam dan luar negara termasuk yang dilantik oleh Kerajaan terdahulu yang mahu isu Pulau Batu Puteh dirayu semula.

“Selain itu, sebelum keputusan dibuat, isu telah saya bawa ke Kabinet,” katanya lagi.

Malah, katanya, terdapat di kalangan ahli-ahli Kabinet ketika itu telah dilantik semula ke dalam Kabinet kerajaan pada hari ini.

“Kerana itu adalah perlu untuk saya atau peguam saya hadir untuk mengikuti prosiding ini dari awal hingga akhir untuk mengetahui adakah kesemua yang terlibat di dalam membuat keputusan dipanggil, jika tidak mengapa dan jika ada, apakah yang mereka perkatakan.

“Jika tidak objektif RCI sebagai satu usaha fact finding agak pincang dan tersasar dari keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. alaaa ko tak payah nak cari scape goat laaa…sbg diktator…engkau jaa yg pada akhirnya buat keputusan…banyak plak excuse

Comments are closed.