KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat keuntungan selepas cukai lebih rendah bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024, kepada RM21.3 bilion daripada RM23.8 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
Prestasi itu didorong oleh peningkatan perbelanjaan operasi dan bayaran tunai di tengah-tengah landskap harga tidak menentu yang berpanjangan.
Perolehan hasilnya bagaimanapun meningkat kepada RM89.7 bilion daripada RM89.3 bilion sebelum ini.
“Aliran Tunai Aktiviti Operasi (CFFO) susut sebanyak RM2.1 bilion kepada RM23.4 bilion, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.
“Perbelanjaan pelaburan modal berjumlah RM10.7 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh projek gas dan huluan, termasuk Projek Gas Asli Cecair (LNG) Kanada, La Amarga Chica di Argentina selain Projek LNG Terapung Berhampiran Pantai dan Kemudahan Pengasingan Karbon Dioksida (CO2) Kasawari di Malaysia.
“Selain itu, pelaburan perbelanjaan modal domestik meningkat sebanyak 20 peratus,” kata syarikat minyak dan gas negara itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata prestasi kewangan kumpulan pada suku pertama itu jelas membuktikan pelaksanaan strategi Petronas yang fokus dan jelas bagi peralihan tenaga – membangunkan hidrokarbon dengan inisiatif penyahkarbonan berkesan yang boleh diukur serta usaha mendapatkan penyelesaian tenaga lebih bersih.
“Seiring jangkaan kami untuk berdepan cabaran yang kian sukar bagi tempoh berbaki tahun ini, Petronas akan memanfaatkan kekuatan portfolio bersepadunya untuk usaha pelaburan semula.
“Kumpulan juga kekal komited dalam pendekatan menjana pertumbuhan menguntungkan secara bertanggungjawab dan mampan. Petronas juga pada setiap masa akan terus mempraktikkan pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutangnya secara berhemat,” katanya.
Dalam suku pertama 2024, Petronas berkata pasaran minyak dan gas terus dijejaskan oleh ketidakstabilan makroekonomi dan dinamik geopolitik di tengah-tengah peralihan tenaga yang membawa kepada ‘landskap harga tidak menentu yang berpanjangan.’
“Petronas berusaha untuk mengekalkan nilai dan komited dalam memastikan keselamatan tenaga pelanggannya di dalam dan di luar Malaysia melalui pengurusan kos yang strategik, portfolio mantap serta pengurusan mudah tunai yang berhemat.
“Kumpulan akan terus melaksanakan semua usaha untuk menangani ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat, sambil bersaing dengan jangkaan pihak berkepentingan,” katanya.
Malah, seiring dengan Strategi Peralihan Tenaga Petronas, kumpulan sedang berkembang pada kadar untuk mengukuhkan perniagaan terasnya dengan meneruskan usaha menyiapkan Pembangunan Lapangan Gas Kasawari di Malaysia dan kilang LNG di Kanada menjelang akhir tahun ini.
Di samping itu, Petronas juga meluaskan penskalaan perniagaan baharunya menerusi pentauliahan projek sistem penghantaran solar antara negeri yang pertama seumpamanya di India, katanya. – BERNAMA