KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi menegaskan tidak berkompromi dengan sebarang isu yang melibatkan salahguna kuasa melibatkan disiplin yang terkait dengan guru di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengeluarkan kenyataan yang cukup tegas berhubung perkara tersebut terutama jika ia membabitkan kebajikan murid.
“(Kita) sudah keluarkan kenyataan yang cukup tegas bahawa kita tidak kompromi dengan sebarang isu sama ada yang melibatkan penyalahgunaan kuasa atau pun yang kita sebut sebagai disiplin terkait dengan guru atau pun isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan murid.
“Kes ini telah pun kita serahkan kepada pihak berkuasa dan kita sedang menunggu laporan berkaitan untuk di bawa ke peringkat kementerian.
“Sebagaimana kenyataan kita, kita tidak kompromi dan kita memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak autoriti untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah ‘Digital Utilisation and Technology’ (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dan melancarkan Pameran MyDigitalMaker Fair (MDMF) 2024 di Pusat Sains Negara di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Wong Kah Woh dan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh.
Fahlina sebelum itu diminta mengulas mengenai insiden seorang guru menjemur murid tahun lima kira-kira tiga jam sehingga mangsa mengalami strok haba yang teruk.
Lebih mengecewakan apabila kejadian itu didakwa kurang dipedulikan oleh pihak-pihak tertentu walaupun hampir sebulan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya kini sedang memberikan perhatian terhadap murid tersebut dan kes itu berada di bawah kebajikan kementerainnya.
Ujarnya, kebajikan itu adalah dalam konteks memastikan ia akan terjaga.
“Dia memang sudah pun berada dalam kebajikan kita…maknanya anak murid ini adalah murid KPM yang kita akan beri perhatianlah.
“Tapi, dalam konteks maknanya kita memastikan bahawa kebajikan itu akan terjagalah ya,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: