Polis sedang mengesan suspek yang bertindak menyumbat kucing di dalam guni berikat sebelum campaknya ke dalam parit besar di Jalan Kota Giam, Jelutong semalam.

GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan suspek yang bertindak menyumbat kucing di dalam guni berikat sebelum campaknya ke dalam parit besar di Jalan Kota Giam, Jelutong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 31 tahun berhubung kejadian itu pada pukul 11.58 pagi.

“Berdasarkan laporan, wanita itu mendakwa melihat seorang lelaki dari kawasan Kota Giam telah membuang satu guni ke dalam parit besar di kawasan tersebut sebelum dia mendapati objek dalam guni tersebut bergerak-gerak.

“Susulan itu, pengadu mengambil guni tersebut untuk membuat pemeriksaan sebelum menemui seekor kucing di dalamnya.

“Pengadu cuba menyelamatkan kucing berkenaan namun haiwan itu telah mati dan dia bertindak menanam bangkai kucing tersebut sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Razlam, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Semalam, Persatuan Haiwan Malaysia dalam kenyataan di Facebook mendakwa insiden itu merupakan kejadian kedua dikesan penduduk kawasan tersebut selain ia didakwa dilakukan individu dikenali.

“Laporan polis telah dibuat dan jenayah yang dilakukan terhadap haiwan itu mempunyai cukup saksi yang mengenali pelaku.

“Kita harap penjenayah yang melakukan tindakan kejam itu haiwan ini dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast