Kredit: Balai Bomba dan Penyelamat Larkin

JOHOR BAHRU – Tiga individu maut selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam longkang di kilometer 14.3 Lebuhraya Iskandar Sultan di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Yusof Othman berkata dalam kejadian pada 8.11 pagi itu pemandu wanita berusia 30 tahun dan dua penumpang iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun dan perempuan berusia 35 tahun maut di tempat kejadian.

Beliau berkata MPV tersebut dari arah Bukit Indah menuju ke Johor Bahru sebelum dipercayai hilang kawalan.

“Kenderaan dipandu wanita itu telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan terjunam ke longkang sedalam kira-kira tiga meter kerana kejadian berlaku selepas hujan.

“Kesemua mangsa maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman. Pemandu dan penumpang lelaki merupakan adik-beradik, manakala penumpang wanita adalah rakan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Pegawai Bomba Kanan PBK I Haizrul Rahmad berkata kesemua mangsa yang maut merupakan warga tempatan dengan pemandu dikenali sebagai Chu Wan Rou, manakala penumpang lelaki Chu Wei Yean dan penumpang wanita Aw Siew Chern.  – BERNAMA