Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda Peringkat Negeri Pahang di Perkarangan Stadium Tun Razak di Jengka hari ini

MARAN – Seramai 41,316 orang peneroka di Pahang telah menerima surat hak milik tanah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, baki 1,810 peneroka akan menerima dokumen berkenaan pada tahun ini.

“Bagi pengurusan hak milik peneroka, sehingga kini kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan sebanyak 96 peratus daripada 43,126 orang peneroka Felda seluruh Pahang.

“Kita cuba selesaikan tahun ini, kalau dah 96 peratus kita selesaikan, tak kan sikit lagi tak boleh selesai. Akan tetapi ini melibatkan persetujuan keluarga ada kebenaran yang meninggal dunia atau masalah teknikal,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda Peringkat Negeri Pahang di Jengka, dekat sini, hari ini.

Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri serius dan memberi perhatian kepada isu-isu yang dihadapi oleh warga Felda terutamanya melibatkan isu tanah serta kediaman untuk generasi baharu.

Ia termasuk mengisytiharkan 18 kawasan dalam wilayah Felda sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Felda Pahang.

Melalui skim tersebut generasi baharu Felda berpeluang membina rumah kediaman mereka di atas tanah yang akan diberi milik oleh kerajaan negeri dengan infrastrukturm disediakan oleh Felda.

Jelasnya kawasan STR Generasi Baharu Felda Pahang meliputi Wilayah Mempaga sebanyak 10 kawasan, Wilayah Jengka  (4) kawasan dan Wilayah Kuantan (4). – Malaysiagazette