IPOH – Sebanyak 80 peratus petani sayur di Cameron Highlands dijangka tidak dapat menikmati subsidi diesel kerana mencatatkan jualan tahunan melebihi RM300,000.
Presiden Persatuan Petani Sayur Cameron Highlands, Datuk Chai Kok Lim berkata, keadaan itu bermakna mereka tidak dapat menikmati subsidi di bawah kategori Budi Agri Komoditi.
Katanya, tanpa subsidi diesel, kenaikan harga sayuran mungkin berlaku dan menjejaskan pengguna, malahan membawa kesan inflasi.
“Tanpa subsidi, petani juga tidak berdaya melakukan apa-apa melainkan mengalihkan kos kepada pengguna,” katanya kepada Sinchew Daily.
Kok Lim berkata, untuk mencatat keuntungan, seorang petani sebaik-baiknya perlu mencatat jualan bulanan RM50,000 hingga RM60,000 untuk meliputi kos operasi yang tinggi.
Katanya, operasi ladang sayur memerlukan diesel, bukan sahaja untuk trak pikap, tetapi pam air dan banyak jentera juga menggunakan bahan api itu.
Ujarnya, petani sayur di Cameron Highlands telah mendaftarkan maklumat mereka dengan pihak berkuasa dengan harapan akan mendapat subsidi, tetapi kini kecewa.
Ujarnya, kerajaan tidak harus membezakan antara petani sayur dan petani padi kerana masing-masing merupakan pengeluar makanan.
Susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, beberapa pertubuhan telah meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian diesel subsidi kepada mereka.
Antaranya, persatuan nelayan berharap kerajaan memperluaskan mekanisme subsidi diesel untuk meliputi kapal nelayan kategori C2 berbanding hanya kelas A, B dan C.
Selain itu, persatuan industri pelancongan pula berharap subsidi diesel diberikan kepada bas dan van persiaran.
Mengenai permintaan penggiat industri supaya kerajaan memperluaskan senarai penerima subsidi diesel, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta perkara itu dirujuk kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. – MalaysiaGazette