SEPANG – Suami isteri warga emas yang dilaporkan terkandas hampir sebulan di Makkah selepas tidak dapat mengerjakan haji dan pasportnya didakwa ‘disimpan’ oleh agensi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada pukul 6.18 petang tadi.
Isteri yang berusia 58 tahun kelihatan sedih dan tidak bermaya sebaik keluar dari balai ketibaan pada pukul 7 petang sehingga terpaksa dipapah dan didukung oleh anak-anak mereka yang menunggu kepulangan pasangan tersebut.
Kedua-dua mereka enggan memberikan sebarang temuramah atau komen kepada pemberita yang menunggu sejak pukul 5 petang dan mengekori mereka sehingga ke kenderaan yang menunggu di luar.
Bagaimanapun suami yang berusia 69 dan hanya kedengaran mengucapkan ‘Terima kasih PMX’ beberapa kali kemungkinan merujuk kepada usaha pihak konsulat di Mekkah mendapatkan passport daripada agensi dan menguruskan perjalanan pulang ke Malaysia.
Anak pasangan itu dikenali sebagai Ena Awil, 33, yang beberapa kali mengeluarkan kenyataan kepada media sebelum ini berkata, ibunya mempunyai penyakit dan mereka belum bersedia untuk ditemuramah.
“Emak saya ada depression, darah tinggi dan lemah jantung. Tadi saya pun risau sebenarnya sebab dia seperti hendak pengsan. Sebab itu adik saya angkat emak.
“Saya minta maaf kepada wartawan lama tunggu dan nampak emak saya tidak dapat memberi apa-apa kenyataan sebab keadaan dia memang tidak sihat.
“Ayah pun risau keadaan emak. Bila lontarkan soalan, dia memang susah hendak memberikan respon,” kata Ena.
Pasangan tersebut berlepas dari lapangan terbang Jeddah semalam dan kemudian transit ke Singapura sebelum tiba di KLIA2.
Ena berkata, beliau bersyukur kerana kedua ibu bapanya yang terkandas di Makkah sejak 2 Mei lalu selamat sampai di tanah air.
Sementara itu menurut Ena, beliau dan ibu bapanya akan memberi kenyataan kepada pihak polis dan Lembaga Tabung Haji berhubung kejadian pasangan itu terkandas di Makkah.
“Saya kena panggil oleh Tabung Haji untuk menghantar senarai nama 250 jemaah berserta dengan nombor telefon.
“Pihak polis telah hubungi emak ayah dan minta mereka tidak mengeluarkan apa-apa sehingga mereka memberi kenyataan kepada polis. Saya akan pergi juga (untuk beri kenyataan),” katanya.
Menurut Ena, ibu bapanya sebelum ini mendapat tajaan penuh mengerjakan haji daripada pihak agensi berikutan mahu membalas jasa beliau dan bapanya mendapatkan beberapa lesen penting untuk syarikat tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, pasangan dari Nilai, Negeri Sembilan itu ‘terkandas’ selepas berlepas ke Makkah pada 2 Mei lalu dengan sebuah agensi pelancongan, dan menggunakan visa pelancong.
Selepas menyedari pihak agensi tidak dapat menyediakan visa haji, mereka mahu pulang ke tanah air kerana khuatir ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Bagaimanapun, mereka mendakwa pihak agensi enggan menyerahkan pasport dan mengarahkan mereka menandatangani surat akuan dengan mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Susulan kejadian itu, Ena membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Nilai, Negeri Sembilan dan meminta bantuan Konsulat Malaysia di Makkah bagi mendapatkan semula passport untuk pulang. – MalaysiaGazette
Kes penipuan berkait Umrah atau haji setiap tahun selalu terdengar atau di media tetapi masih juga berlaku..Kenapa ?
Umat Islam sepatutnya ambil pengajaran daripada yang telah berlaku dan berhati-hati dengan setiap janji-janji manis agensi hanya mahu ambil kesempatan atas kelemahan kita.Tidak ambil jalan mudah atau tidak bersabar walaupun ia adalah Rukun Islam ke 5 kerana hanya mereka-mereka yang bersabar pasti Allah swt beri jalan , cuma cepat atau lambat.
Harap pihak kerajaan bertegas dan memastikan agensi Umrah/Haji yang mempunyai kemampuan dari segala segi seperti kewangan terjamin serta perkhidmatan terbaik diberi lesen.Kekerapan pemantauan atau pemeriksaan kepatuhan SOP maka agensi tersebut dibenarkan beroperasi.Pastikan mereka-mereka yang menimbulkan masalah seperti ini tidak diberi lesen walaupun mereka menubuhkan syarikat baru sedangkan dalam syarikat tersebut masih orang yang sama menguruskan.
HARAP DIMASA DEPAN TIADA KES BERULANG.