KUALA LUMPUR – Berang ditegur menunggang motosikal tanpa topi keledar, dua individu yang mabuk bertindak nekad membaling pasu tembikar ke arah Balai Polis Serdang pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.A. Anbalagan dalam kenyataan berkata bagaimanapun, dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, tiada anggota polis yang cedera.
Katanya, semasa kejadian, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal telah berhenti di hadapan balai polis dan ketika seorang daripada anggota polis yang bertugas bertanyakan tujuan mereka, pembonceng motosikal itu telah membaling pasu tembikar ke arah pagar sebelah kiri dan kemudian melarikan diri.
“Motif kejadian disyaki kerana tidak berpuas hati susulan pada 2.30 pagi, anggota yang bertugas telah menegur sekumpulan lelaki bermotosikal yang tidak menggunakan topi keledar di persimpangan lampu isyarat kira-kira 20 meter dari balai berkenaan,” katanya.
Menurut Anbalagan, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang menerusi talian 03-8074 2222. – Bernama