PETALING JAYA – Tidak mudah untuk mengatasi masalah calon tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi apa yang boleh dilakukan adalah berusaha mengurangkan jumlahnya.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Fouzi Singon berkata, keadaan tidak hadir berlaku setiap tahun dan jumlahnya juga berlegar sekitar 10,000 orang setiap tahun.
“Isu ini berlaku setiap tahun dan jumlahnya juga tidak banyak berbeza.
“Isu ini tidak perlu mengundang kontroversi termasuk daripada Kementerian Pendidikan, kerana mereka sepatutnya tahu puncanya,” katanya kepada Sinchew Daily.
Fouzi berkata, masalah itu antaranya disebabkan calon persendirian yang mungkin tidak hadir kerana faktor pekerjaan.
Katanya, selain itu, ada juga pelajar yang tidak mahu meneruskan pelajaran atau dibuang sekolah kerana masalah disiplin.
“Ada juga yang sakit tetapi tidak melapor atau ada calon yang masuk hospital,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan statistik, setiap sekolah secara puratanya mempunyai lima calon yang tidak hadir peperiksaan.
Beliau berkata, sekiranya mahu mengurangkan masalah tidak hadir, maka Kementerian Pendidikan harus mengumumkan data lebih lanjut supaya tindakan susulan boleh diambil.
Seramai 10,160 calon dilaporkan tidak hadir dalam SPM 2023 dan Kementerian Pendidikan mengambil perhatian serius mengenai keadaan itu.
Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 19,601 pada 2020, 10,681 (2021), dan 14,858 (2022), jumlah calon tidak hadir SPM 2023 sebenarnya menurun. – MalaysiaGazette
Takda sapa sapa kah dr KPM nak buat analisa dan share ngan rakyat? Contoh..negeri mana calon paling ramai tak hadir, kategori keluarga mcm mana, tahap kesihatan mcm mana.. baru org boleh pakat2 bantu selesai masalah. Bukan asik cari sapa yg salah.
inilah masalah apabila peperiksaan utama hanya ada 1 sahaja bagi pelajar sekolah iaitu SPM, maka pelajar sudah jadi malas nak belajar dan ibubapa pula ambil tidak kisah SPM. Kembalikan lah peperiksaan UPSR, PT3 supaya pelajar dan ibubapa kenal keupayaan anak mereka bukan penilaian berasas bilik darjah yang sampai sekarang ibubapa tidak faham bagaimana anak mereka dinilai, adakah kerana anak mereka tidak altifi atau anak bukan kesukaan guru.