Suresh Balakarishna (bapa), dan Mogana Selvi (ibu) menunjukan laporan kesihatan ketika sidang media mengenai anaknya didera oleh guru dan dijemur bawah matahari di Madras Cafe, Sentul, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 29 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat untuk bertegas dan mengambil tindakan segera terhadap pihak sekolah dan guru yang dipercayai mendenda murid tengah panas hampir tiga jam.

Kejadian itu telah mendapat perhatian ramai apabila murid itu telah mengalami masalah kesihatan dan bakal dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Tiada kanak-kanak yang patut diberikan hukuman sebegitu kejam dan apa yang terjadi tidak boleh diterima.

“Dengan itu, kami mahu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mengambil tindakan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan beliau mengenai tiada kompromi yang akan diberikan kepada pelaku.

“Siasatan yang telus dan teliti sepatutnya dijalankan untuk mempertanggungjawabkan pihak yang melakukan perbuatan tidak berhati perut ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keselamatan dan kebajikan pelajar sepatutnya menjadi tanggungjawab utama dan kejadian itu menekankan kepentingan reformasi sistemik untuk melindungi anak-anak kecil dalam institusi pendidikan.

“Pihak kami akan terus memantau kes ini dan memberi sokongan kepada mangsa dan keluarganya.

“Oleh itu, kami menyeru pihak-pihak organisasi yang berkaitan untuk turut bersama kami dalam menuntut persekitaran yang lebih selamat, prihatin dan selesa untuk para pelajar,” tambahnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Murid ‘disidai’ tengah panas selama 3 jam bakal OKU

Keluarga murid kena jemur sudah buat laporan polis – Peguam

KPM tak kompromi isu pelajar kena jemur – Fadhlina