Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan UKM, Prof Dato' Dr Roslee Rajikan bersama Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Dr Mohd Mahzan Awang (4 dari kiri) bergambar bersama pelajar-pelajar Fakulti Pendidikan di Karnival Inklufest Fakulti Pendidikan.

BANGI- Program Karnival Inklufest anjuran pelajar tahun tiga Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), galakkan penerimaan dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap isu yang dihadapi oleh orang kelainan upaya (OKU).

Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof. Datuk Dr Roslee Rajikan berkata, karnival itu merupakan cerminan komitmen dan usaha murni UKM dalam mewujudkan kampus yang inklusif.

“Kami akan terus komited untuk memenuhi hak setiap individu, termasuk komuniti OKU dengan menjalankan inisiatif seperti Pelaksanaan Inklusif OKU UKM, penubuhan Unit Perkhidmatan dan Sokongan serta penyediaan infrastruktur mesra OKU di seluruh kampus.

“Ini dapat dilihat sebagai platform yang sesuai untuk membuka mata masyarakat mengenai keperluan dan potensi golongan OKU sekali gus menggalakkan lagi keterbukaan masyarakat terhadap mereka.

“Sebagai bukti, terdapat aktiviti yang dianjurkan seperti eksplorasi OKU Sejahtera dan Inklu-Ekspo yang direka khas untuk diakses dengan mudah untuk semua orang,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Inklusif, baru-baru ini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Dr Mohd Mahzan Awang berkata, fakulti itu menyimpan hasrat untuk menjadi tempat yang menyediakan akses dan peluang pendidikan sama rata untuk semua individu tanpa mengira latar belakang dan keupayaan.

“Kami berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang mana setiap pelajar dapat berkembang secara holistik dan mencapai potensi maksimum mereka sejajar dengan matlamat fakulti untuk melahirkan modal insan yang berkeupayaan tinggi, termasuk dalam memperjuangkan hak dan inklusiviti OKU pada masa hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette