Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengusaha ladang digesa supaya lebih prihatin kepada ekosistem sekitar ladang serta melaksanakan amalan pengurusan pertanian yang baik susulan kematian empat ekor gajah disyaki diracun di Kluang, Johor pada 1 Jun lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarain Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya memerlukan kerjasama dan penglibatan Kerajaan Negeri dan para pengusaha ladang dalam menangani isu konflik manusia dan hidupan liar.

Laporan awal mengenal pasti bangkai seekor gajah betina dan tiga ekor gajah jantan yang terlibat adalah daripada kumpulan Bandar Tenggara di Hutan Simpan Lenggor, Hutan Simpan Kluang dan Kluang Tambahan, Hutan Simpan Labir, Hutan Simpan Sembrong dan Taman Negara Endau Rompin.

“Habitat utama tersebut dikelilingi oleh kawasan pertanian, perladangan dan penempatan penduduk.

“Ingin saya tekankan di sini bahawa habitat dan kawasan keliaran gajah adalah penting untuk menampung keperluan populasi gajah kerana kehilangan habitat akibat perubahan guna tanah untuk aktiviti-aktiviti pertanian, perladangan, penempatan, perbandaran serta pembangunan infrastruktur mengakibatkan konflik manusia dan gajah,” tegasnya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebanyak 646 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan di Johor bagi tempoh 2020 hingga Mei tahun ini dan daripada jumlah itu sebanyak 45 peratus atau 292 aduan melibatkan daerah Kluang.

Tambahnya, berdasarkan kepada data semasa, anggaran populasi gajah di Johor ialah di antara 120 hingga 160 ekor.

Beliau menegaskan, gajah merupakan salah satu spesies hidupan liar ikonik negara dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Saya juga menyeru semua pihak supaya dapat menyalurkan maklumat kepada Jabatan PERHILITAN jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kes kematian empat ekor gajah tersebut dengan menghubungi talian PERHILITAN di Hotline 1-800-88-5151,” katanya.

Kementerian sentiasa proaktif dalam memelihara dan memulihara habitat hidupan liar termasuk gajah melalui pelbagai inisiatif termasuk menyediakan peruntukan one-off sebanyak RM10 juta bagi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) tahun ini.

Insiden kematian empat ekor gajah di Jalan Kahang Timur-Felda Ulu Dengar, Kluang tular di media social.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast