Kredit: Imigresen Johor

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warga asing termasuk seorang penjaga rumah ibadat kerana tidak memiliki pas atau permit sah tinggal di negara ini, dalam serbuan di tujuh premis di Taman Setia Indah di sini, tengah malam tadi.

Pemangku Pengarah Imigresen Johor Mohd Faizal Shamsudin berkata kesemua yang ditahan dalam serbuan Ops Sapu dan Ops Selera kira-kira 12.01 tengah malam itu berusia 22 hingga 47 tahun.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, tujuh lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga India serta seorang wanita warga Thailand.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat sebuah rumah kedai telah dijadikan rumah ibadat untuk warga asing dan seorang warga Myanmar mengaku menjadi penjaga kepada rumah ibadat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebuah restoran warga asing turut dikesan menjalankan operasi secara haram dan tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.

Mohd Faizal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Penjaga rumah ibadat itu juga akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast