Ts. Dr. Nurul Nadiah (dua kiri) bersama-sama penerima Anugerah sempena MPI2024.

KUALA NERUS –Hasil inovasi Ketua Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya. Ts. Dr. Wan Nurul Nadiah Wan Rasdi iaitu ZooNutri Pre-Feed System  berjaya memenangi anugerah keseluruhan dalam Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2024 (MPI2024) pada 29 dan 30 Mei lalu.

Produk ciptaan beliau itu berjaya memikat barisan panel kerana kemampuannya untuk menghasilkan zooplankton secara maksimum dengan kos yang rendah.

“ZooNutri Pre-Feed System mengaplikasikan prinsip ‘sistem kultur semua-dalam-satu’ yang tediri daripada tangki makanan, tangki pengkulturan dan sistem penuaian.

“Teknik ini diperkenalkan untuk membantu industri akuakultur membuat makanan  sendiri tanpa mengharapkan sumber semula jadi sahaja,” katanya.

Dalam pertandingan itu juga, beliau mempertandingkan lagi satu produk ciptannya iaitu Jelly Daphnia Cubic yang turut berjaya memperoleh anugerah emas.

“Inovasi ini pula merupakan makanan ikan yang terdiri daripada gelatin dan zooplankton yang juga boleh digunakan sebagai makanan bagi ikan juvenil sehingga dengan mudah,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMT, Prof. Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin menyifatkan penganjuran MPI sebagai pengiktirafan serta platform untuk menggalakkan pembudayaan inovasi dalam kalangan masyarakat.

“Saya percaya ia akan mampu memupuk penyelesaian secara holistik dan menangani cabaran kompleks yang dapat menggalakkan pertumbuhan inklusif dan mencipta dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang,” ucapnya dalam majlis penutup MPI2024.

MPI2024 merupakan platform untuk memberi pendedahan dan pengiktirafan kepada penyelidik untuk menghasilkan produk terbaik selain menyokong apirasi Dasar Sains, Teknologi & Inovasi Negara. – MalaysiaGazette