KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Fahmi Abd Moin mengesahkan beliau telah dilantik sebagai peguam baharu mewakili ibu bapa kanak lelaki autisme, Zayn Rayuan Abdul Matiin.
Pasangan suami isteri itu ditahan polis Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Bercakap kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi, kata Fahmi, beliau telah dilantik oleh keluarga berkenaan semalam.
“Laju sungguh media dapat berita ini. Ya sah, saya telah secara rasmi dilantik oleh keluarga.
“Kita tunggu perkembangan kes sama ada reman akan disambung atau sebaliknya Jumaat ini,” katanya.
Hari ini, datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba memberitahu media bahawa keluarga mereka sudah melantik peguam baharu mewakili ibu bapa kanak-kanak itu yang kini dalam tahanan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pelantikan itu dibuat selepas peguam terdahulu, Mahmud Abdul Jumaat memaklumkan beliau tidak lagi mewakili pasangan suami isteri itu mula hari ini.
Dalam satu kenyataan, Mahmud daripada firma guaman, Tetuan Emir Mahmud & Co, memaklumkan keputusan itu terpaksa dibuat kerana mahu memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya. -MalaysiaGazette