Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengkaji sekiranya ada keperluan mewujudkan undang-undang hak tebus rugi (Lemon Law) selepas pakar perundangan yang dilantik selesai membuat penelitian selewatnya penghujung September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sekiranya tiada perkara mendesak, maka ia mencukupi untuk meminda akta sedia ada berkait bagi melindungi pengguna membeli kenderaan rosak.

“Mulai 1 Jun ini kita sudah lantik pakar perunding untuk sediakan laporan komprehensif yang akan diserah kepada kita September ini untuk dibentang kepada kementerian.

“Ia akan jadi asas pertimbangan kita sama ada kewujudan itu perlu atau hanya pinda akta sedia ada sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kepenggunaan 2024 di sini hari ini.

Jelas Armizan, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.

Setakat ini, peruntukan perundangan bercirikan Lemon Law berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk barangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

“Selain daripda Akta 599, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen Lemon Law,” ujarnya.

Beliau menambah, sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan, kementeriannya melaksanakan dua strategi interim berkuatkuasa 1 Jun lalu bagi melindungi pengguna iaitu penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor

Strategi lain pula adalah proses mendapatkan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) agar satu penyelarasan berkenaan surat persetujuan terima dibuat antara institusi perbankan bagi membolehkan pengguna membuat tuntutan tebus guna di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) atau mahkamah.

“Dua strategi interim ini merupakan intervensi oleh kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan,” jelasnya.

Sejak 2019 sehingga kini, sebanyak 557 pemfailan kes kereta baharu direkodkan di TTPM dengan 523 kes telah selesai manakala 1,201 kes melibatkan kereta terpakai dengan 1,142 kes telah diselesaikan.

Lemon Law merupakan undang-undang diasaskan di Amerika Syarikat bagi membela hak pembeli kereta menerima pampasan jika produk berkenaan rosak berkali-kali dan gagal berfungsi seperti dijanjikan. – MalaysiaGazette