Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Kadar jenayah di Pahang meningkat kepada 970 kes untuk tempoh Januari hingga Mei lalu berbanding 824 kes untuk tempoh sama tahun lalu, naik 146 kes.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah tersebut, kes jenayah kekerasan melonjak kepada 177 kes daripada 164 kes.

“Jenayah harta benda menunjukkan peningkatan sebanyak 133 kes, iaitu dari 660 kes pada tahun 2023 kepada 793 kes pada tahun 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Jun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Yahaya, peratusan penyelesaian kes jenayah di negeri ini adalah sebanyak 55.67 peratus dan beliau berharap JSJ dapat memperkasakan elemen siasatan bagi memastikan kadar pertuduhan yang lebih tinggi dapat dicapai.

Sementara itu beliau berkata, polis telah melakukan 6,114 tangkapan membabitkan 5,555 kes pelbagai kesalahan narkotik antara Januari hingga Mei lalu.

”Meneliti kepada Tangkapan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), sebanyak 42 tangkapan telah berjaya dilaksanakan menunjukkan peningkatan sebanyak 24 tangkapan berbanding pada tahun 2023, iaitu sebanyak 18 tangkapan.

”Hasil dari tangkapan, JSJN berjaya merampas nilai rampasan dadah bagi tempoh tersebut merekodkan sebanyak RM 3.1 juta,” katanya. – MalaysiaGazette