Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR – Proses pengujian pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggunakan Kod QR untuk perkhidmatan bas dan motosikal di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah bermula 1 Jun lalu berjalan lancar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pelaksanaan pengujian itu telah mendapat maklum balas positif daripada pengguna.

“Seramai 117,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini dan seramai 13,846 pengguna telah menggunakan aplikasi ini. Proses pengujian yang sama sedang berjalan di laluan penumpang bas di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“JIM kini dalam peringkat akhir memperkemaskan keperluan-keperluan aplikasi Kod QR bagi memastikan kelancaran pelaksanaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ruslin berkata,  pelaksanaan pemeriksaan Imigresen menggunakan Kod QR adalah dalam proses percubaan secara Proof of Concept (POC) untuk tempoh tiga bulan.

“Dalam tempoh ini, penggunaan Kod QR hanya melibatkan warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas dan motosikal di CIQ KSAB serta perkhidmatan bas di CIQ BSI.

“JIM sentiasa komited DALAM memastikan pelaksanaan Kod QR di CIQ KSAB dan CIQ BSI berjalan lancar. Ia bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura,” katanya lagi. – MalaysiaGazette