Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (depan dua, kanan) meninjau status terkini proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) 1 Maharaja Lela di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

LUMUT – Pelaksanaan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 Maharaja Lela setakat ini mengikut perancangan ditetapkan kerajaan dan dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kapal LCS pertama negara itu menepati jadual ditetapkan mengikut perancangan iaitu pada Mei tahun ini, ia telah melalui proses diluncurkan ke air.

Beliau berkata kapal itu telah pun diluncurkan ke air pada pada 23 Mei, setelah mendapat persetujuan daripada pihak yang membuat reka bentuk, pihak mengawal kualiti pembinaan dan pengguna akhir iaitu pihak TLDM sendiri, bagi menguji kestabilan dan keutuhan kapal.

“Jadi ia telah melalui proses itu dan sekarang ini ialah untuk membuat kerja memasang peralatan, perkakas atas kapal, ada yang dah dipasang, ada terus dipasang. Ia akan ambil masa sehingga tahun depan, pemasangan, ujian pemasangan dan sebagainya, bermakna sama ada enjin, combat system, sistem komunikasi, semua itu termasuk peralatan seperti meriam dan sebagainya.

“Selepas itu barulah dalam Disember akan dilakukan ujian di pelabuhan dan selepas semua perkakas dipasang maka akan dilakukan ujian di laut. Dan kalau ikut perancangan, kapal pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada Ogos Tahun 2026,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan pembinaan kapal tersebut di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata pembinaan empat lagi baki LCS juga berjalan dengan baik dan mengikut perancangan ditetapkan setakat ini.

Pada masa sama, beliau menjelaskan sesebuah kapal itu perlu melalui empat proses iaitu reka bentuk, pembinaan, pemasangan peralatan dan ujian, sebelum ia berstatus siap dan sedia digunakan secara rasmi.

“Di sinilah (tinjauan hari ini) kita lihat bahawa sekurang-kurangnya kapal dah diluncurkan (ke air). Maknanya dah nak mula ke peringkat keempat, kesemua ujian.

“Kapal ini minimum memuatkan 120 orang kelasi dan anggota, jadi dia mestilah selamat, apatah lagi nak menjalankan tugas dia sama ada rondaan, latihan, jaga kedaulatan, ancaman. Jadi dia mesti dalam keadaan kuat dan kukuh kapal ini,” katanya.

Sementara itu mengenai tindakan selepas laporan oleh Lembaga Siasatan berkaitan nahas membabitkan dua helikopter mengorbankan 10 pegawai dan anggota pada 23 April lepas dikeluarkan, Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan mengambil iktibar daripada pengalaman tersebut.

“Kita pastikan supaya segala kita belajar daripada insiden ini dapat dijadikan panduan dan pengajaran.

“Apabila melibatkan korban jiwa tentunya tak mudah dan tentunya akan ambil masa, dan saya percaya dengan sokongan kuat daripada rakan kerja, jiran dan negara sama-sama beri perhatian, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan kesedihan tersebut,” kata Mohamed Khaled.

Ditanya tindakan diambil terhadap bangkai helikopter terlibat, Khaled berkata: “(Dua bangkai pesawat itu) Ya, memang dilupuskan (akan).”

Dalam tragedi 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) serta tiga kru Fennec TLDM, terkorban selepas helikopter dinaiki terbabit insiden semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut di sini.

Terdahulu dalam majlis berasingan, Mohamed Khaled hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa tragedi helikopter terhempas dalam satu majlis di Serambi Markas Pemerintahan Armada Barat, di sini.

Waris kepada arwah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun dan mendiang Leftenan T. Sivasutan, hadir untuk menerima sumbangan tersebut hari ini.

Sementara itu dalam satu lagi majlis berasingan, Mohamed Khaled turut beramah mesra bersama warga Pangkalan TLDM Lumut serta menyampaian cek cura berjumlah RM38.04 juta kepada Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama Jamaludin Sairi yang merupakan peruntukan senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Blok Penginapan Pangkalan TLDM Lumut Tahun 2024. – BERNAMA