Tangkap layar berdasarkan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek melarikan kereta Honda City di sebuah stesen minyakl di Kuantan petang semalam.

KUANTAN – Dalam beberapa saat, seorang lelaki bertindak melarikan sebuah kereta Honda City milik seorang akauntan di sebuah stesen minyak di sini semalam.

Namun suspek tidak menyedari dia dalam masa sama telah ‘menculik’ ibu kepada mangsa yang masih berada di dalam kereta semasa kenderaan itu dibawa lari.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selepas menyedarinya, suspek kemudian meninggalkan ibu mangsa di tepi jalan kira-kira 400 meter dari lokasi stesen minyak Shell di Semambu itu.

Menurut beliau, pada mulanya, pemilik kenderaan itu seorang akauntan berusia 38 tahun bersama kedua orang tua di stesen minyak berkenaan bagi mengisi petrol dan ke tandas dalam kejadian 3.10 petang.

”Pengadu telah mengisi minyak motokar kemudian ayah dan emak pengadu telah turun pergi ke tandas. Selepas selesai mengisi minyak mangsa telah meletakkan kereta di parking berhampiran tandas dan emak pengadu yang telah selesai pergi ke tandas terus masuk ke dalam kereta.

”Wanita itu telah turun tinggalkan kereta dalam keadaan enjin hidup dan emaknya berada dalam kereta tersebut. Tiba-tiba pengadu mendengar emaknya menjerit meminta tolong dan magsa mendapati suspek telah melarikan kereta bersama ibunya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari memaklumkan lokasi berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup dan dan semasa kejadian terdapat saksi iaitu pekerja Shell yang melihat kejadian berlaku.

Tambahnya, terdapat sebuah telefon bimbit jenis Iphone 14 milik pengadu dan TnG bersama Smart Tag di dalam kenderaan yang dilarikan oleh mangsa.

Hasil siasatan juga dapati suspek telah datang ke stesen minyak berkenaan menggunakan sebuah motosikal jenis Honda EX-5  diletakkan di kawasan berhampiran.

Kemudian motosikal yang ditinggalkan oleh suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala semakan melalui nombor enjin motor tersebut merupakan kenderaan curi.

”Apabila suspek sampai suspek terus pergi ke bahagian pemandu dan membawa lari Honda City  milik pengadu bersama emak pengadu yang berada di dalam kereta. Bagaimanapun ibu mangsa telah ditemukan selamat.

”Motosikal yang digunakan suspek telah dibawa balik oleh Tim Lejang D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK  Pahang) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasi di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan polis masih giat mengesan suspek.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 55 saat memaparkan seorang lelaki melarikan sebuah kereta berwarna maroon di sebuah stesen minyak semalam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast