isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Terdapat perbezaan dalam tindakan menghalang syarikat penyertaan BlackRock, menerusi anak syarikat penuhnya Global Infrastructure Partners (GIP) dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan tindakan memboikot produk keluaran Apple.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Dr. Puad Zarkashi berkata, Kerajaan mempunyai kuasa untuk menghalang penyertaan BlackRock.

Manakala mengenai produk Apple, kerajaan tidak mempunyai kuasa langsung sama ada untuk menghalang Blackrock memiliki saham dalam syarikat itu atau melarang pengguna daripada membeli produk syarikat terbabit.

“Kuasa di tangan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan syarikat GIP milik Blackrock pro Israel membeli saham 39 airport Malaysia (MAHB)

“Kerajaan tidak ada kuasa halang Blackrock menguasai saham Apple. Tetapi kenapa benda yang kita ada kuasa, kita mahu benarkan pula.

“Dalam kes Apple, kuasa di tangan rakyat bukan kerajaan. Terpulang pada rakyat untuk boikot seperti mana mereka boikot McDonalds, KFC, KK Mart dan Starbucks,” kata Puad.

Puad mendakwa, penyertaan BlackRock dalam syarikat pengendali lapangan terbang seolah-olah mendedahkan aset strategik kepada ‘musuh’.

Malah menurut beliau, seorang sarjana hak asasi manusia Jepun yang terkenal, Prof. Saul Takahashi melahirkan rasa terkejut dengan rancangan kerajaan Malaysia.

“Masalahnya airport adalah aset strategik. Ia adalah kedaulatan kita. Dalam tactical war airport adalah sasaran utama untuk ditawan atau dimusnahkan.

“Tiba tiba kita benarkan pro musuh membolosi kedaulatan kita secara mudah. Kita tidak tahu apa akan jadi 50 dan 100 tahun akan datang.

“Prof. Saul Takahashi yang pernah berkhidmat dengan PBB di Pejabat Wilayah Palestin yang dijajah, pelik dengan pendirian Malaysia. Di mana moral kemanusiaan negara?” soal Puad.

Saul Takahashi, seorang profesor hak asasi manusia di Universiti Osaka Jogakuin, Saul Takahashi, dilaporkan berkata adalah “tidak wajar” kerajaan Malaysia mempertimbangkan perjanjian dengan BlackRock.

Ini kerana BlackRock ialah pembiaya utama perindustrian ketenteraan Amerika Syarikat serta terbabit secara tidak langsung dalam pembunuhan beramai-ramai Israel lebih 36,000 penduduk Palestin.

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock juga merupakan penyokong terkenal dan lantang terhadap Zionis.

Sebelum ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki pegangan dalam MAHB.

Tengku Zafrul menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Katanya, BlackRock juga merupakan pemegang saham terbesar Apple dan mempersoalkan mengapa ada pihak yang menentang penglibatan Blackrock masih menggunakan produk keluaran syarikat Apple.

“Semua yang memiliki (produk) Apple, jika anda benar-benar menentang, anda tidak sepatutnya menggunakannya. Siapa pemegang saham terbesar WhatsApp? Siapa pemegang saham terbesar Facebook?

“Jadi, di mana kita nak putuskan garis pemisah? Dalam dasar, di mana kita gariskannya?” katanya dalam Madani Economy Townhall di Universiti Malaya ketika ditanya untuk menjelaskan rundingan penswastaan MAHB. – MalaysiaGazette