JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan (MOT) diarah membantu siasatan dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mempunyai pendirian tegas iaitu tiada sebarang hubungan dengan Israel.
“Kita tidak ada hubungan diplomatik termasuk hubungan perdagangan secara langsung dengan Israel.
“Isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor itu (isu kontena Israel) amat dekat kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, saya tidak fikir kita boleh berkompromi dalam hal ini.
“Saya harap Kementerian Pengangkutan dapat melakukan pemantauan seterusnya terhadap perkara ini supaya tidak berlaku lagi termasuk kapal-kapal Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor Bahru hari ini.
Untuk itu, Ahmad Zahid mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara Zionis terbabit.
Katanya, jika terdapat barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, pihak berkuasa perlu melakukan pantauan berterusan.
Sebelum ini, media melaporkan kehadiran kontena dari Israel itu menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan penduduk sekitar.
Sebelum itu, ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Segera siasat dakwaan kontena Israel berada di Iskandar Puteri – Ahmad Zahid