KUALA LUMPUR – Pengeluaran gas asli Malaysia meningkat 9.1 peritus pada suku pertama tahun 2024, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, pengeluaran minyak mentah dan kondensat turun marginal bagi tempoh dua suku tahun berturut-turut, menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 48.0 juta tong pada suku pertama tahun 2024 (ST4 2023: -0.6%; 49.1 juta tong).

Penguncupan ini disebabkan oleh kemerosotan sebanyak 5.8 peratus dalam pengeluaran minyak mentah kepada 33.2 juta tong (ST4 2023: -6.6%; 34.6 juta tong), yang meliputi 69.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Namun, pengeluaran kondensat kekal kukuh dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.0 peritus berbanding dengan pertumbuhan 17.0 peratus pada suku sebelumnya.

Sementara itu, pengeluaran gas asli terus meningkat kepada 9.1 peratus, merekodkan 799.8 bilion kaki padu berbanding dengan 733.3 bilion kaki padu pada suku yangsama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pengeluaran minyak mentah dan kondensat menurun 2.3 peratus berbanding dengan pertumbuhan 7.0 peratus pada suku keempat tahun 2023.

Secara keseluruhan, harga minyak mentah dan kondensat mengalami penurunan sejak suku ketiga tahun 2023.

Harga purata “Lifting” Berpemberat (WALP) mencatatkan AS$86.9 per tong pada suku pertama 2024 (ST4 2023: AS$88.5; ST3 2023: AS$89.4) manakala harga setiap tong bagi WTI dan Brent masing-masing mencatatkan AS$77.6 per tong (ST4 2023: AS$78.4; ST3 2023: AS$82.3) dan AS$83.0 per tong (ST4 2023: AS$83.7; ST3 2023: AS$86.7).

Mengulas prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata, nilai eksport minyak mentah dan kondensat adalah sebanyak RM9.1 bilion pada suku pertama tahun 2024 (ST4 2023: RM9.3 bilion), dengan Thailand merupakan destinasi utama, merekodkan RM2.4 bilion atau 26.4 peratus, diikuti oleh Jepun (26.2%) dan India (14.4%).

Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM33.6 bilion (ST4 2023: RM33.7 bilion) pada suku ini.

Singapura adalah negara destinasi utama dengan sumbangan 22.1 peratus, diikuti oleh Indonesia (18.7%) dan Australia (15.0%).

Gas asli cecair (LNG) pula mencatatkan nilai sebanyak RM18.5 bilion, dengan sejumlah RM8.2 billion atau 44.5 peratus dieksport ke Jepun, diikuti oleh China (25.2%) dan Korea (22.0%). – MalaysiaGazette