GEORGE TOWN – Polis mengesahkan menerima laporan mengenai pergaduhan melibatkan dua lelaki tempatan di sebuah restoran di Jalan Perak, di sini, pada 31 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, terdahulu pihaknya telah terkesan satu rakaman video berdurasi satu minit 51 saat yang dimuat naik di laman X memaparkan pergaduhan dua individu, kira-kira jam 2 petang semalam.
Kata beliau, bagaimanapun, pihaknya telah menerima laporan daripada salah seorang individu terlibat dalam pergaduhan itu jam 8.07 malam, pada 1 Jun lalu.
“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku jam 4 pagi, pada 31 Mei lalu melibatkan dua lelaki tempatan dan siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
”Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi serta tidak menularkan lagi rakaman klip video berkenaan,” katanya hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan salah seorang lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu merupakan anggota badan beruniform, Razlam berkata, pihaknya masih mengenal pasti individu yang terlibat serta punca kejadian.
“Sekiranya didapati bersalah kita tidak kira siapa mereka, tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Terdahulu, tular video menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan menunjukkan berlaku perselisihan faham antara dua lelaki sebelum masing-masing bertumbuk sehingga ke luar premis. – MalaysiaGazette