Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) hadir ke ‘Protes Senyap Peduli Rafah’ di hadapan KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menggesa tetamu yang dijemput untuk hadir sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) ke-248 agar memakai simbol Palestin.

Penyelaras media SSP, Nur Hafizah berkata, simbol berkenaan wajar dipakai sebagai tanda soladiriti terhadap penduduk Palestin yang berhadapan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel.

Menurutnya, AS secara tidak langsung telah menyokong pembunuhan beramai-ramai melalui pembiayaan dan senjata kepada Israel sepanjang tempoh lapan bulan serangan di Gaza yang telah membunuh lebih 36,000 orang.

“Sama ada lencana, kufeiyyah, selendang atau apa-apa yang simbolik dengan Palestin, marilah kita menjadi peringatan fizikal kepada AS bahawa kita tidak melupakan dosa yang telah mereka bantu lakukan.

“Kami turut menggesa wakil-wakil kerajaan Malaysia, khususnya para menteri yang akan menghadiri majlis resepsi ini agar memakai lambang Palestin bagi mencerminkan semangat solidarity rakyat Malaysia dan kerajaan MADANI dengan negara Palestin.

“Ketika seluruh dunia bersatu dalam tindakan penentangan dan solidariti dengan Palestin, marilah kita juga menyertai mereka dalam pertunjukan penentangan yang mungkin sederhana tetapi kuat ini terhadap genisida yang disokong oleh AS,” katanya dalam kenyataan.

Kedutaan AS dijadual mengadakan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-248 pada 10 Jun ini di Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, sambutan tersebut seharusnya diperingati bersama realisasi bahawa negara Palestin dan rakyatnya juga bercita-cita untuk bebas dan merdeka.

Kerajaan AS perlu diingatkan mereka mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan oleh sekutunya, Israel.

Pada 24 Mei lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memerintahkan supaya kempen ketenteraan Israel dihentikan serta merta dan aliran bantuan ke Gaza difasilitasi.

Bagaimanapun keputusan CJ tidak diendahkan Israel kerana AS terus mempersenjatai dan menyokong negara zionis itu melalui penyediaan dana dan senjata.

“Kami di SSP ingin mengingatkan kerajaan AS bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan oleh sekutunya, Israel.

“Belum pernah berlaku dalam sejarah umat manusia yang kita menyaksikan pembunuhan beramai-ramai atau genosida berlaku secara langsung melalui skrin komputer dan telefon pintar kita,” katanya.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, bekas Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menggesa agar pemimpin kerajaan memboikot acara tersebut.

“Anwar Ibrahim, jangan hantar menteri ke majlis ini. Rakyat Malaysia yang turut diundang juga tidak seharusnya berbuat demikian,” kata Khairy Jamaluddin dalam perkongsian di Insta Story.

Gesaan itu dipercayai dibuat berkaitan perkembangan terbaharu kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dan serangan yang dilancarkan oleh rejim zionis ke atas Rafah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast