KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju ketika lawatan kerja ke Jerman, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ketiga-tiga universiti itu ialah University of Applied Sciences Kaiserslautern (HSKL), Aschaffenburg University of Applied Sciences (UAS) dan Kiel University of Applied Sciences (FH Kiel).
“MoU antara UTeM dan HSKL tertumpu kepada aktiviti dan projek antarabangsa yang akan menekankan pengantarabangsaan pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan serta teknologi elektronik dan komputer.
“Ini akan membawa manfaat besar untuk kedua-dua institusi dan sekaligus menyumbang kepada kemajuan pendidikan tinggi dan TVET termaju pada skala global.
“Memorandum bersama UAS pula tertumpu kepada penekanan dalam konteks mempromosi dan membangunkan penyelidikan, kerjasama teknikal dan pendidikan selain meningkatkan pemahaman tentang persekitaran ekonomi,budaya dan sosial,” katanya.
UTeM turut memeterai MoU bersama FH Kiel yang memberi fokus kepada skop pendidikan antarabangsa, penyelidikan dan aktiviti berkaitan seperti mobiliti pelajar terutamanya dalam bidang informatik, kejuruteraan elektrikal dan mekanikal.
“Pada masa yang sama, kami turut meneliti dan menanda aras pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) di sana selain pengisian kerjasama terutamanya dalam bidang penyelidikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
MoU yang ditandatangani ini selari dengan usaha pemacuan TVET termaju merentas global. – MalaysiaGazette