Datuk Seri Yahaya Othman

BENTONG – Seramai 45 ’penceroboh’ dalam kalangan pekebun Musang King membabitkan warga asing dan tempatan telah ditahan dalam Ops Sekat sejak 30 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 67 tahun kerana menceroboh tanah kerajaan, ingkar arahan mahkamah serta masih berdegil menduduki tanah  secara haram.

“Polis telah membuka 50 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan seperti dibawah Kanun Keseksaan, Kanun Tanah Negara , Akta Perhutanan Negara dan Akta Imigresen.

”Pada 30 Apriil lalu, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa negeri untuk mengambil alih semula tanah kerajaan dan hutan simpan yang diteroka di Raub.

”Ops Sekat melibatkan 201 pegawai dan anggota polis giat dilaksanakan melibatkan lapan kawasan tumpuan termasuk di Sungai Ruan, Tranum, Ulu Dong, Tras, dan kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat polis Daerah  Bentong hari ini.

Dalam Ops Sekat, katanya, polis turut merampas sebanyak 44 buah motosikal, 12 trak pikap, empat buah lori, empat buah kereta, dua jengkaut dan empat jentera pengorek.

Kesemua barang itu telah disita, katanya.

Selain itu, polis juga melakukan pemantauan terhadap kerja pembinaan ‘parit gajah’ di beberapa kawasan berbukit bukau bagi menyekat kegiatan pencerobohan hutan di negeri itu. – MalaysiaGazette