A Asmadi Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Polis berjaya menangani ancaman bom disyaki palsu yang dilaporkan di bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan (MOTAC) di Presint 5 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Warisan, Datuk Seri Tiong King Sing sendiri menyatakan beliau menerima bungkusan dengan di dalamnya ada bahan letupan ‘bom’.

Katanya, siasatan awal mendapati kakitangan MOTAC menerima bungkusan kurier di lobi bangunan itu pukul 11.19 pagi sebelum ia diambil di lobi berkenaan pukul 2.45 petang tadi oleh kakitangan yang kemudiannya membawanya naik ke tingkat 14 yang juga pejabat sementara menteri.

“Selepas penyerahan dibuat dan apabila kotak itu dibuka, di dalamnya menemui paip PVC dengan sambungan dawai disyaki ‘bom’ sebelum menghubungi polis untuk tindakan segera.

“Kita kemudian menggerakkan Unit Pemusnah Bom (UPB) yang terdiri daripada 10 anggota ke lokasi kejadian sebelum melakukan pemeriksaan secara rapi menggunakan khidmat dua ekor anjing  terhadap bahan letupan disyaki bom itu,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian  petang tadi.

Tambah A. Asmadi, UPB kemudian menamatkan pemeriksaan ke atas bahan disyaki letupan itu sebelum disahkan ia merupakan bom palsu.

Katanya, Pasukan UPB dengan bantuan anggota polis keselamatan bawahan akhirnya berjaya  menanggalkan suis sambungan bahan letupan palsu menyerupai hoax itu.

“Siasatan lanjut kita mendapati bungkusan bungkusan itu dihantar seorang lelaki dari alamat Sungai Buloh kepada Menteri Pelancongan tersebut.

“Kita ada dapatkan rakaman kamera litar tertutup dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan menjejaki siapa culprit bertanggungjawab menghantar bungkusan ancaman bom palsu tersebut.

“Siasatan dibuka di Bawah Akta Bahan Letupan 1957 kerana mendatangkan ugutan dan kegusaran awam serta kes akan disiasat dalam pelbagai sudut dan aspek bagi menentukan punca kejadian,” tegasnya.

Katanya, bangunan MOTAC akhirnya disahkan selamat selepas pemeriksaan rapi selesai dilaksanakan bersama pasukan bomba dari Putrajaya dan juga UPB dan semua kakitangan dibenarkan memasuki pejabat semula dan pulang ke rumah.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah meminta pengurusan bangunan mempertingkatkan kawalan keselamatan di bangunan kementerian itu termasuk anggota polis.

“Saya berharap selepas ini, apa jua bungkusan yang dialamatkan kepada menteri sendiri supaya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat bagi memastikan ia tidak boleh diterima sewenang-wenangnya demi keselamatan semua di bangunan itu.

“Sementara itu, saya juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang insiden terbabit agar segera tampil ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi polis menyalurkannya bagi melancarkan siasatan kami.

“Saya juga tidak mahu orang awam membuat sebarang spekulasi dalam insiden ini. Biar polis melakukan siasatan selanjutnya tanpa sebarang gangguan dan beberapa orang sudah dirakam keterangan sepatutnya di peringkat awal kejadian tadi,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ancaman bom: Kakitangan, pelawat MOTAC diarahkan keluar