Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi meraikan jaringan gol selepas berjaya membolosi pasukan Kuala Lumpur City FC Pada Perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Peminat setia skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) kini  sudah mampu tersenyum selepas penyerang sayapnya, Arif Aiman Hanapi sudah kembali ke padang latihan.

Dalam satu video dimuat di laman media sosial Harimau Selatan, Arif kelihatan menjalani proses rehabilitasi dengan pemerhatian seorang staf kejurulatihan kelab.

Perkongsian itu sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa pemain berkenaan sudah bersedia untuk diturunkan bagi aksi Piala FA menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 15 Jun di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Kelibat Arif yang merupakan Pemain Paling Bernilai musim lalu dirindui peminat JDT selepas dia yang masih belum merekodkan sebarang penampilan musim ini.

JDT kini berada di tangga teratas ketajaman jentera serangan yang sudah menjaringkan 11 gol, termasuk tiga yang dihadiahkan berikutan keputusan Selangor FC menarik diri.

Namun sebahagian penyokong lain berharap anak jati Kuantan, Pahang akan bersedia untuk diturunkan dalam skuad kebangsaan.

Meskipun Harimau Malaya sudah berlepas ke Kyrgyzstan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 untuk aksi di tempat lawan pada Khamis, skuad kendalian Kim Pan-gon akan berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Jun.

Kedua-dua perlawanan berkenaan boleh dikatakan cukup penting dalam misi negara melayakkan diri ke pentas Piala Dunia atau sekurang-kurangnya menempah slot ke Piala Asia buat dua edisi berturut-turut. – MalaysiaGazette