KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menganggap cadangan memperluaskan Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan (PPPA) 1984 kepada media dalam talian merupakan tindakan terdesak mengawal penerbitan dan media secara mutlak.

Mempersoalkan langkah berkenaan, parti tersebut dalam masa yang sama menyifatkan ia dilihat seolah-olah tidak seiring dengan reformasi yang diperjuangkan.

“Melihat kepada perkembangan ini, sepertinya selangkah demi selangkah, kita sedang mengundur kebelakang. PPPA bukan sahaja digagaskan sejak zaman penjajahan British lagi yang telah kekal selama 76 tahun, tetapi juga satu undang-undang yang turut sama ditentang oleh rakan-rakan yang kini berada dalam kerajaan, untuk tempoh yang panjang,” kata MUDA menerusi kenyataan.

Tambah parti itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepatutnya membincangkan usaha bagi mempercepatkan penubuhan Majlis Media termasuklah mengadakan perbincangan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Jelasnya, penubuhan majlis itu merupakan inisiatif murni iaitu demi mengharmonikan piawaian dan kod kelakuan selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Acara libat urus bersama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) harus segera dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan awam yang lebih jelas dan strategik.

“Menerusi penubuhan Majlis Media, bolehlah turut diwujudkan satu indeks kebebasan media tempatan dengan mekanisme yang lebih telus.

“Media Malaysia perlu diperkasa dan bukan semakin disekat. Hapuskan Akta PPPA serta hentikan sandiwara akta-akta ‘penjajah’ yang tidak relevan dan bersifat draconian,” jelasnya.-MalaysiaGazette