Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan. Foto WAN NABIL NASIR, 17 DISEMBER 2023.

SERDANG – Dua remaja lelaki, termasuk seorang pelajar, ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, di sini, semalam kerana disyaki membaling pasu bunga ke arah Balai Polis Serdang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan Arumugam berkata, hasil soal siasat dan dipandu arah kedua-dua suspek, pasukan polis telah membuat serbuan dan melakukan rampasan serpihan batu dan pasu.

“Kita turut berjaya merampas pakaian yang dipakai kedua-dua suspek itu semasa melakukan jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua suspek berumur 17 tahun dan seorang lagi lelaki adalah penganggur.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi 2 Jun lalu, dua lelaki dipercayai mabuk membaling pasu bunga ke arah balai polis berkenaan.

Motif kejadian disyaki akibat rasa tidak berpuas hati kerana anggota polis memberi amaran kepada sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Serdang.

Menurut Anbalagan, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan perintah tahanan reman pagi ini untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette