KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset Air Selangor di Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dimulakan mengikut jadual pada jam 9.00 pagi tadi dan dijangka siap 7.00 malam nanti.
Menurut Air Selangor, para pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula pada 3.00 pagi esok setelah penggantian aset siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20% pada jam 3.00 petang, 6 Jun 2024 (Khamis) diikuti dengan 90% pada jam 3.00 pagi, 7 Jun 2024 (Jumaat).
“Manakala waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 12.00 tengahari pada 7 Jun ini,” katanya.
Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Kami akan menggerakkan lori-lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis, upacara pengebumian serta memberikan bekalan air alternatif menerusi 13 Pusat Khidmat Setempat (PKS) untuk kemudahan pengguna.
“Bekalan air terawat pula boleh dibeli secara komersial di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor menggunakan lori tangki air masing-masing di empat (4) stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” tambahnya.
Air Selangor juga akan mengadakan sesi taklimat dengan para wakil rakyat kawasan terjejas pada 4 Jun untuk memastikan kelancaran pembekalan air untuk para pengguna. – MalaysiaGazette