SINGAPURA – Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, ingin mengukuhkan kerjasama dengan negara anggota lain bagi memastikan bandar-bandar di rantau ini dapat menangani cabaran dan keperluan masa depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata ini penting disebabkan oleh gelombang haba yang berterusan dan peristiwa iklim ekstrem yang berlaku baru-baru ini.
“Sebagai contoh di Singapura, kami bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) untuk melaksanakan Program Residensi Rakyat (PRR).
“Saya yakin kami boleh bekerjasama dengan negara-negara lain di rantau ini dan di seluruh dunia untuk menghijaukan sektor perumahan dan pembinaan,” katanya pada sesi pleno penutup Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS), di sini pada Selasa.
Sementara itu, Nga berkata Malaysia akan terus melabur dan berinovasi dalam tiga bidang asas – perumahan, perancangan dan kesihatan bandar untuk terus menyampaikan Aspirasi MADANI dalam pembangunan negara.
Beliau berkata PRR telah dicadangkan awal tahun ini sebagai perumahan awam generasi baharu yang mencukupi, mampu milik dan direka dengan baik untuk mengatasi cabaran perumahan, terutama yang dihadapi oleh golongan muda Malaysia.
“PRR bukan sahaja bertujuan menyediakan perumahan yang mampu milik dan mencukupi tetapi memastikan ia bersepadu, mampan dan selesa didiami, dengan daya komersial yang berkualiti, ruang hijau, pusat komuniti dan ciri-ciri lain,” katanya, sambil menyatakan bahawa 77 peratus rakyat Malaysia memiliki rumah mereka sendiri.
Mengenai perancangan, Nga berkata kerajaan sedang mengumpulkan bakat, pembiayaan dan perkhidmatan di peringkat nasional, serantau dan tempatan, dalam menghadapi masa depan, peristiwa iklim ekstrem termasuk peningkatan kesan pulau haba, banjir kilat dan kemarau yang memerlukan integrasi yang lebih besar dalam tadbir urus pelbagai peringkat.
Beliau berkata Rancangan Fizikal Negara Kelima (NPP5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (NUP3) yang akan datang akan memperkukuh lagi penyertaan awam dan masyarakat dalam perancangan dan projek pembangunan bandar.
“Kami percaya dalam mendengar dan bekerjasama dengan rakyat yang kami berkhidmat,” katanya.
Menteri itu berkata Malaysia telah melabur dalam menaik taraf perkhidmatan asas di seluruh negara termasuk tandas awam, kawasan terbuka awam dan memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada air minuman yang bersih dan selamat.
Nga berada di Singapura dari 2 hingga 4 Jun untuk menghadiri WCS. Beliau juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura Grace Fu dan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee semasa lawatan kerja berkenaan. – BERNAMA