SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengarah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu berkata, lelaki berusia 40-an itu disyaki meminta sejumlah wang berkenaan sebagai balasan mempercepat dan meluluskan permohonan pengubahsuaian bangunan tanpa melalui prosedur di kawasan Selangor.

“Transaksi tersebut juga dipercayai dimasukkan melalui akaun peribadinya daripada kontraktor-kontraktor yang terlibat,” katanya.

Katanya, suspek telah ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi dan perintah reman diluluskan selama tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette