Mangsa yang juga pemandu e-hailing, Ong Ing Keong, 46 merupakan lelaki orang kurang upaya yang didakwa diserang pengiring kepada orang kenamaan selepas selesai hadir bagi memberi keterangan ketika di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman hari ini mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan selari dari aspek tatatertib berkaitan kes orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh anggota pengiring  kenamaan pada 28 Mei lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata,  mangsa seorang lelaki berbangsa Cina itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan tatatertib.

“Mangsa datang ke Bukit Aman dengan diiringi peguam dan jurubahasa untuk membantu siasatan.

“JIPS akan meneliti kes ini dari sudut Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengesan sebarang pelanggaran atau salah laku semasa pelaksanaan penugasan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Azri, siasatan masih berada peringkat awal dan JIPS akan memanggil beberapa saksi-saksi lain bagi melengkapkan siasatan.

Pihak JIPS juga menegaskan polis akan menjalankan siasatan secara telus dan tanpa kompromi.

Terdahulu pemandu warga tempatan berusia 46 tahun yang dikenali sebagai Ong Ing Keong hadir ke Bukit Aman bersama dua peguam dari Lawyer For Liberty (LFL), N.Surendran dan Latheefa Koya sebelum memasuki Bukit Aman pukul 11 pagi untuk memberi keterangan.

Mangsa telah dirakam keterangan selama empat jam 30 minit sebelum meninggalkan Bukit Aman pukul 3.30 petang.

Surendran memberitahu, anak guamnya telah diambil keterangan secara menyeluruh dan mendalam membabitkan serangan yang diterima dan laporan polis yang dibuat pada petang selepas kejadian 28 Mei lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemandu e-hailing OKU dirakam keterangan selama 4 jam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast