GOMBAK – Dewan Pemuda Pas Gombak hari ini telah membuat laporan polis bagi menggesa siasatan ke atas seorang pemandu Grab dikenali sebagai Henry yang didakwa menghina agama Islam di hadapan pelancong asing.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Gombak, Mohamad Sufi Kamari kesal dengan tindakan Henry yang menyebarkan persepsi jelek mengenai tatacara hidup seorang muslim di Malaysia.
“Dakwaan Henry mengenai orang bukan Islam di Malaysia dipaksa mengikut ajaran Islam adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu tuduhan yang sangat berat.
“Henry sebagai seorang yang dekat masyarakat sepatutnya berkongsi perkara yang baik tentang budaya negara kita bukannya membuat sangkaan jahat dengan memainkan sentimen yang sensitif.
“Hal ini boleh mengubah persepsi pelancong yang hadir ke Malaysia serta memberi tanggapan buruk mengenai agama Islam walhal tiada pun institusi disini memaksa bukan Islam hidup seperti seorang Muslim,” katanya.
Beliau percaya tindakan pemandu itu telah menyentuh kategori 3R (agama, kaum dan institusi raja) dan sepatutnya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta SKMM Seksyen 505 KK.
Menurut Mohamad Sufi, kejadian yang tular semalam di media sosial itu telah merisaukannya semua umat Islam di Malaysia.
“Sehubungan dengan itu, kami menggesa siasatan segera dan menyeru ramai lagi orang Islam hadir membuat laporan di balai polis untuk menjaga bukan sahaja kesucian agama tetapi juga keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara,” tambahnya.- MalaysiaGazette