BENTONG – Seorang lelaki yang disyaki melarikan kereta Honda City di Kuantan dicekup dalam satu serbuan polis di Kampung Cinta Manis di sini awal pagi tadi.
Suspek sempat tidur selama lebih dua jam diberkas pukul 12.45 pagi selepas menceroboh kediaman dan mengurung lima sekeluarga di dalam sebuah bilik.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek yang merupakan bekas banduan itu disyaki melarikan kenderaan dan menukar nombor pendaftaran kenderaan kemudian meninggalkannya di Pasar Pekan Karak semalam.
”Pada sebelah malam, suspek pergi Kampung Cinta Manis dan kemudian masuk ke sebuah rumah untuk tidur,” katanya ketika sidang media hari ini.
Menurut Yahaya, penghuni di dalam kediaman tersebut telah dikurung di dalam bilik oleh suspek sebelum terlelap di ruang tamu rumah berkenaan.
Kemudian pemilik rumah tersebut mengambil tindakan menghubungi pihak polis ketika suspek sedang nyenyak tidur.
Ketika serbuan dilakukan, polis turut menjumpai pelbagai peralatan berbahaya dan kini suspek telah direman selama dua hari bermula hari ini.
Yahaya berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara lima sehingga 10 tahun.
Menurut beliau, dengan tertangkapnya suspek berusia 40 tahun itu, polis telah menyelesaikan kes motosikal curi, kereta Honda City yang dilarikan sejak 3 Jun lalu selain mendapati suspek didapati positif dadah.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporakan seorang lelaki melarikan sebuah Honda City bersama seorang warga emas di tempat duduk penumpang di Shell Semambu di Kuantan pada kejadian 3.10 petang Isnin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :