Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merasmikan Jalan Utama Bandar Seri Botani di Botani Village, Ipoh. Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

IPOH – Para penyewa unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR)  diberi amaran supaya tidak menyewakan unit sewaan mereka kepada warga asing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan tersebut kerana masalah kekurangan rumah kediaman mampu milik tidak dapat diselesaikan jika masalah sedemikian berterusan.

“Apabila mereka memohon, alasan nya mereka tiada rumah dan apabila sudah dapat, tidak duduk di situ malah disewakan pula kepada orang lain

“Kita dapati sangat ramai pemilik rumah PPR menyewakan kepada pekerja-pekerja asing dan ada juga yang sewa kepada PATI yang tanpa izin, namun keadaan itu kita tidak akan berkompromi.

“Kementerian kita akan menguatkuasakan undang-undang dengan akan melakukan operasi besar besaran tidak lama lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jalan Utama Bandar Seri Botani di Botani Village, dekat sini, pada Khamis.

Kor Ming sebelum itu diminta mengulas berkenaan peruntukan yang diberikan bagi menaik taraf lif di kawasan PPR yang dilulus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukan bagi menaik taraf lif di kawasan PPR seluruh Malaysia, justeru penduduk perlu bekerjasama supaya tidak merosakkan kemudahan yang disediakan .

“Penduduk kena buat dua perkara, pertama elakkan vandalisme, sayangkan semua yang kita pasang, jangan rosakkan, jangan kencing dan jangan buang sampah dalam lif, jangan paksa saya pasang CCTV dalam lif.

“Kedua, mintak tolong penduduk PPR, tolong bayar yuran penyelenggaraan kerana apabila kita menikmati segala kemudahan, jangan lupa bertanggungjawab (bayar sewa),”ujarnya. – MalaysiaGazette