Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 07 JUN 2024.

PETALING JAYA – Dua remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah atas tuduhan khianat membaling pasu bunga ke arah Balai Polis Serdang pada minggu lalu.

Pertuduhan dibacakan kepada dua remaja yang merupakan pesalah juvana itu di Mahkamah Majistret hari ini.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan khianat dengan merosakkan kereta jenis Proton Saga, milik seorang lelaki berusia 18 tahun hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM500, di tepi jalan hadapan Balai Polis Serdang pada jam 6.30 pagi, 2 Jun lalu.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pertuduhan dan pengakuan dibuat  di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Ogos depan untuk jatuh hukum selepas laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkifli.

Manakala dua pesalah juvana ini diwakili peguam, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan baru-baru ini mengesahkan penahanan kedua-dua remaja itu di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada jam 4 petang, Selasa lalu.-MalaysiaGazette