Para peserta bengkel kewartawanan Newscamp 2.0 serta Kolokium Kewartawanan anjuran Institusi Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM bergambar selepas majlis perasmian di Dewan Cendekiawan IPPTAR, Kuala Lumpur pada Selasa 4 Jun lalu.

KUALA LUMPUR – Peranan data dalam memastikan ketepatan fakta dan ketelusan dalam dunia kewartawanan amat penting seiring keterlibatan pembaca dan penonton terutama di media sosial.

Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin berkata, pendedahan data dalam sesuatu laporan memudahkan penceritaan dan pelaporan penyiasatan.

“Data raya memberikan sumber set data kepada wartawan untuk berita penyiasatan, menyemak fakta yang lebih efisien.

“Selain itu, analitik corak pembaca melalui interaksi media sosial sama signifikannya dalam pembabitan pembaca,” katanya pada Bengkel Kewartawanan – Newscamp 2.0: Data Journalism di Dewan Cendekiawan, IPPTAR.

Bengkel dua hari anjuran IPPTAR dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), dihadiri lebih 50 mahasiswa pengajian media dan kewartawanan serta pengamal media.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, penganjuran bengkel tersebut dapat memberi manfaat kepada peserta dengan ilmu berkaitan data dalam kewartawanan selaras dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam landskap media kini.

Sementara itu, Dekan FKPM UiTM Shah Alam, Prof Madya Abd Rasid Abd Rahman berkata, penganjuran Newscamp 2.0 untuk kali kedua, merupakan inisiatif pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Komunikasi untuk projek tahun akhir mereka.

“Gabungan kerjasama kali ini dengan IPPTAR telah meningkatkan lagi tahap kemampuan pelajar dan sinergi untuk memajukan dunia media, khususnya dalam bidang kewartawanan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast