Temubual SKOP MG bersama Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad di Malaysia Gazette. Foto SYADILA AMARI, 06 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Pensyarah Kanan, Dr Anuar Ahmad berkata, kebimbangannya mengenai pelaksanaan dasar Dual Language Programme (DLP) telah terbukti berikutan bantahan pengenalan peraturan baharu DLP dalam satu pekeliling Kementerian Pendidikan Mac lalu.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu acap kali membangkitkan perihal DLP sejak pelaksanaannya pada 2016.

DLP merupakan program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Program tersebut dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Berdasarkan data KPM, lebih 2,000 sekolah di seluruh negara melaksanakan DLP.

Bagaimanapun, KPM menerusi satu pekeliling baru-baru ini mewajibkan sekolah-sekolah yang memilih DLP menyediakan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Arahan terbaharu itu menimbulkan bantahan sekolah-sekolah di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Dr Anuar berkata, beliau telah banyak menulis tentang isu DLP sejak 2016, malah DLP disifatkan sebagai asar dasar pendidikan paling buruk dalam sejarah pendidikan negara ini.

“Saya telah katakan, “percayalah, satu hari nanti DLP akan ‘makan tuan’. Terbukti saya betul,” katanya.

Katanya, mengikut dasar pelaksanaan DLP, pihak sekolah dan ibu bapa diberikan sepenuhnya pilihan sama ada memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik untuk anak-anak mereka di sekolah.

“Itu ketetapan hitam putih yang telah diumumkan oleh KPM.

“Jadi bila ada pihak sekolah dan ibu bapa yang bermesyuarat dan telah memilih untuk menggunakan bahasa Inggeris, mereka sebenarnya tidak menentang arahan kerajaan. Mereka sebenarnya telah akur sepenuhnya dengan dasar DLP,” katanya.

Dr Anuar berkata, bukan salah mana-mana sekolah atau PIBG untuk membuat pilihan tidak mahu bahasa Melayu digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik untuk anak-anak mereka sebab itulah telah dipersetujui bila DLP dimulakan.

Bagi Dr Anuar, DLP adalah satu kesilapan besar yang dilaksanakan oleh penggubalnya kerana beliau berpandangan tidak boleh sama sekali ketetapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar boleh sewenang-wenangnya dijadikan sebagai pilihan.

“Bahasa Kebangsaan ialah kewajipan semua warga Malaysia. Tidak sepatutnya ada pilihan. Wajib semua warga Malaysia kuasai Bahasa Kebangsaan.

“Sebab itu saya tegaskan sejak awal lagi, DLP telah menghina Perkara 152 Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

“Tapi tiada yang peduli. Malah diteruskan juga DLP hingga hari ini. Sekarang dah nampakkan, ‘DLP dah mula makan tuan.’

Dr Anuar berkata, beliau telah menjangkakan akan berlaku situasi di mana akan ada ibu bapa yang menolak penggunaan Bahasa Melayu.

“Ibu bapa mestilah mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Bayangkan, jika anak-anak memang lemah Bahasa Melayu, tiada sebab ibu bapa mahu anak-anak belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Merudumlah prestasi anak-anak nanti. Memang logiklah fikiran ibu bapa. Tetapi logik ibu bapa tidak semestinya sama dengan logik membina negara dan perpaduan bangsa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Kata Dr Anuar, sebenarnya peristiwa penolakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pernah berlaku pada tahun 1950, 1953, 1959 dan 1961 menjadi antara sebab mengapa kita masih gagal membina satu Bangsa Malaysia yang benar-benar tulen hingga ke hari ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Siapa penggubal? Siapa patriotik?
    Jepun, Korea tetap maju walaupun menggunakan bahasa ibunda mereka.

  2. Pemimpin terdahulu angkuh, tak mahu dengar nasihat pakar sebab tu jadi macam ni. Secara logiknyapun untuk membina satu bangsa malaysia bersatu mesti disatukan dahulu bahasa mereka. Bahasa Malaysia mesti didaulatkan sebagai bahasa komunikasi disemua peringkat pentadbiran, tanpa pilihan bermula dari tadika hingga ke U. Kita ada DBP, bahasa malaysia tiada masalah untuk dijadikan bahasa ilmu. Kerosakan terdahulu mesti dibaiki supaya kembali kelandasan yang betul. Dapatkan nasihat pakar yang neutral pemikiran mereka supaya dapat membuat keputusan yang betul tanpa terkait dengan politik sempit.

Comments are closed.