Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

BANTING – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) digalakkan memohon Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dapat membantu graduan STEM untuk mudah memasuki institusi pengajian tinggi, sesuai dengan bidang kemahiran.

“Ia akan memendekkan tempoh kursus umpamanya pelajar cemerlang dalam STEM, terdapat 11,133 pelajar yang mendapat semua A.

“Mereka boleh memilih TVET kerana peluang untuk memasuki kolej dan universiti TVET ada.

“Kini terdapat lima universiti TVET di negara kita termasuk UniKL, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Pahang dan Universiti Perlis.

“Mereka boleh memilih untuk terus masuk dari peringkat awal melalui Giatmara, IKBN, Politeknik, Kolej Komuniti dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau pameran pendidikan kemahiran pada Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat.

Dalam pada itu, graduan STEM juga mempunyai peluang luas dalam kursus TVET sama ada pengajian sepenuh masa mahupun luar kampus.

“Jika mereka mahu bekerja dahulu, selepas SPM dan lulus kemahiran, mereka boleh terus bekerja ataupun bekerja sambil belajar atau belajar sambil bekerja.

“Ada juga kursus-kursus yang ditawarkan yang bersesuaian dengan masa anjal,” katanya. – MalaysiaGazette