KEPALA BATAS – Cubaan segelintir pendatang asing tanpa izin (Pati) menjadikan cuaca hujan lebat sebagai faktor untuk melarikan diri gagal, selepas mereka berjaya diberkas Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang, hari ini
Operasi yang dilakukan sepasukan penguatkuasa bermula jam 12 tengah malam tadi membawa kepada tangkapan 15 Pati yang menghuni rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan perumahan di Bertam, di sini.
JIM Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, mereka yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun dan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.
“Kira-kira 40 warga asing diperiksa dalam serbuan tersebut dan 15 daripada didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1963.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan, pas yang sah serta ada yang tinggal lebih masa.
“Rata-rata yang ditahan itu dikatakan tinggal antara setahun, dua di tapak pembinaan tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, siasatan lanjut akan dilakukan terhadap Pati dan pemilik premis selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette