KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mahasiswa tidak bersolidariti bersama Palestin.
Timbalan Presidennya, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, banyak usaha telah dilakukan dalam menunjukkan sokongan mahasiswa terhadap Palestin, terutamanya dalam media sosial.
“Kita bersolidariti bukan dengan himpunan sahaja, tetapi kalau kita lihat di media sosial, kita memang sudah lakukannya.
“Kita buat hashtag, kita buat gambar, template dan sebagainya. Itu sudah tentu memberikan pendedahan kepada yang lain bahawasanya pelajar Malaysia serius dengan hal ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada Himpunan Solidariti Perdana Siswa Malaysia bersama Palestin di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, dekat sini, hari ini.
Tambah beliau, kempen itu akan terus dijalankan pada masa akan datang.
Hadir sama wakil-wakil universiti lain antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP). – MalaysiaGazette