KUALA LUMPUR – ‘Kemerdekaan ekonomi negara’ akan menjadi taruhan sekiranya isu kemampanan tenaga termasuk melibatkan gas dan petrol tidak diselesaikan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi amaran, Malaysia akan bergantung kepada harga sumber asli yang ditetapkan negara lain menjelang 2050 jika amalan sebelum ini diteruskan.
Ini termasuk meneruskan dasar subsidi pukal, penggunaan tenaga yang tidak berhemah dan komposisi penjanaan elektrik yang bergantung kepada arang batu dan gas asli
Katanya, angka semasa menunjukkan Malaysia hanya mengeluarkan sekitar 380,000 ke 390,000 tong minyak mentah sehari berbanding 650,000 tong sehari suatu ketika dahulu.
Penggunaan gas asli di Semenanjung untuk menjana elektrik dan sebagai bahan asas industri juga telah melebihi pengeluaran domestik.
Katanya, bagi tahun lalu, Malaysia telah mengimport kira-kira 25 peratus daripada keperluan gas asli untuk Semenanjung dari negara luar.
Kadar import gas asli dijangka naik tahun ini dan akan terus naik sekiranya peralihan tenaga tidak berlaku dengan lebih cepat.
Menurut Rafizi, fakta tersebut telah pun diketahui oleh pembuat dasar dan pemain industri.
Tambah beliau, kakitangan Petronas di Kerteh, Terengganu misalnya sedia maklum bahawa kapasiti loji pemproses gas asli telah direhatkan sebahagiannya kerana gas asli yang semakin berkurang.
“Ini fakta yang tidak gemar kita dengar. Lebih mudah untuk menolaknya sebagai masalah orang lain yang perlu diselesaikan oleh orang lain di masa lain. Tetapi orang lain yang akan mewarisi masalah ini adalah anak-anak kita dalam 10 hingga 20 tahun dari sekarang.
“Dalam konteks inilah, Kementerian Ekonomi akan terus memberi tumpuan untuk membina kemampanan tenaga negara menjelang 2050 kerana kemerdekaan ekonomi kita menjadi taruhan, sekiranya perkara ini tidak diselesaikan,” kata beliau.
Justeru katanya, sebahagian daripada proses menstrukturkan ekonomi ke arah bernilai tinggi tumpuan pertama kementerian yang diterajuinya adalah meletakkan agenda peralihan tenaga sebagai penggerak utama dasar ekonomi negara.-MalaysiaGazette