Para pelajar yang hadir menyertai Himpunan Solidariti Perdana Siswa Malaysia bersama Palestin di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, hari ini.

GOMBAK – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyertai Himpunan Solidariti Malaysia bersama Palestin di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, hari ini.

Himpunan yang bermula pada jam 2.15 petang itu dimulakan dengan ucapan Presiden MPPK, Wan Amsyar Hadie yang tegas menyatakan sokongan mahasiswa terhadap rakyat Palestin yang kini diserang dengan kejam oleh rejim zionis.

“Kami akan menyerahkan petisyen bukan sahaja kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) tetapi juga Kementerian untuk menjadi suara rakyat Palestin dan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka.

“Pemberian petisyen ini kepada AS adalah untuk meminta mereka berundur dan tidak melakukan apa apa.

“Jangan gunakan sebarang kuasa veto dalam menggagalkan sebarang usaha untuk mengiktiraf dan menyokong usaha dalam pembentukan sebuah negara Palestin,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu, hari ini.

Menurutnya, 27 universiti lain turut menjalankan himpunan solidariti itu di kampus masing-masing dan ini menunjukkan kepada dunia sokongan mahasiswa terhadap negara itu.

“Kami menyeru semua para pelajar untuk berdiri bersama kami menyokong Palestin dan genosid yang dilakukan rejim zionis dihentikan serta-merta.

“Saya mahu menegaskan bahawa himpunan ini tidak akan tamat di sini, ini hanyalah satu bentuk usaha kecil kami dan ia merupakan satu usaha yang berpanjangan.

“Kita seharusnya menyokong Palestin sehingga mereka mencapai kemerdekaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette