Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis mempergiatkan usaha memburu suspek yang menghantar bungkusan yang mengandungi peralatan bahan letupan palsu yang dialamatkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King di bangunan kementerian itu di Putrajaya, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan kes tersebut masih dilakukan pihaknya.

“Setakat ini polis selesai merakam keterangan daripada menteri berkenaan dan juga beberapa saksi lain dalam kejadian bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Pada Rabu lalu polis menerima panggilan mengenai ancaman bom daripada menteri berkenaan menyebabkan sepasukan 10 anggota Unit Pemusnah Bom bersama dua ekor anjing pengesan dikejarkan ke Kementerian elancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pemeriksaan polis mendapati bungusan yang dihantar itu merupakan bom palsu.

Menurut Asmadi, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette